Sunday, June 30, 2013

Menziarahi Tempat Persinggahan Tok Janggut; Ulamak berjiwa Pahlawan





Biarpun kami berbeza pertubuhan pertadbiran tapi kami tetap sama kerana kami adalah anak-anak gayong...
ini dapat dilihat dengan rombongan silat seni gayong pusaka selangor yang diketui oleh Cikgu Rasip beserta anak-anak gayong didiknya turun ke kelantan kerana niat mereka untuk menziarahi guru-guru lama serta ulamak yang terdapat di kelantan ini...

Kami sebagai anak-anak gayong juga iaitu anak gayong serantau kelantan menyambut dengan baik tetamu dari luar kelantan kerana untuk menjalani ukhwah yang lebih erat antara kami anak-anak gayong semuanya.

Allahamdulilah, syukur kami panjatkan pada Ilahi kerana melancarkan segala urusan kami untuk menziarahi tempat persinggahan Tok Janggut (Hj Mat Hassan/Hj Mat Jubah Hijau). Kami (ustaz Wan Halim(YDP) gayong serantau kelantan serta En.Muhammad Yusop) telah diamanahkan oleh Syeikh Ustaz Wan Asrul untuk menunjukkan dimanakah tempat persinggahan Tok Janggut yang sebenarnya.

Syeikh Ustaz Wan Asrul meamanahkan kami kerana beliau tidak dapat menghadirkan diri ke kelantan kerana ada urusan keluarga di Melaka, jadi Ustaz Wan Halim diamanahkan untuk membawa rombongan Cikgu Rasip untuk pergi ke tempat persinggahan Tok Janggut.

Sini juga kami ingin memaklumkan bahawa rombangan ini seramai 17 orang termasuk dengan Cikgu Rasip sekali. sesudah sahaja selesai kami dari menziarahi tempat persinggahan Tok Janggut rombongan ini terus pulang ke selangor kerana kerja pada keesokannya.. kami harap rombongan Cikgu Rasip ini selamat sampai ke tempat yang dituju serta jemput-jumput la lagi datang ke kelantan ini kerana dapat eratkan lagi serta kuatkan lagi ukhwah kita sebagai anak-anak gayong....

gambar ketika dihadapan makam Tok Janggut
gambar Ustaz Wan Halim bersama Cikgu Rasip

Wednesday, June 26, 2013

Kursus Seni Bela Diri Wanita Dan Ujian Kenaikan Bengkong






Allahamdulilah panjat syukur kehadrat Ilahi selamat dan selesai lah kursus seni bela diri wanita serta ujian kenaikan bengkong bagi bengkong pelangi putih dan bengkong pelangi hijau tahniah di ucapkan bagi yang berjaya.

Kursus ini di jalankan di MAHAAD TAHFIZ SAINS perempuan tanah merah pada tarikh 23-25 hbln jun 2013 ini termasuk dengan hari ujian pada 25 hrbln jun 2013.

Kursus ini telah dihadiri tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu Yang Di Pertua(YDP) silat seni gayong serantau kelantan sendiri saudara ustaq Wan Abdul Halim Bin Wan Omar serta dibantu oleh tenaga pengajar yang lain yang berpengalaman juga iaitu Naib Yang Di Pertua(YDP1) saudara ustaq Mohd Atiqullah Bin Sidek, Setiausaha saudara ustaq Mohd Hafisze Bin Md.Idrus dan saudara En.Muhammad Yusop Bin Hj Mohd Nasushardin.

Kursus ini telah dihadiri seramai 200 orang peserta wanita di mahaad tahfiz sains tanah merah. Didalam kursus ini para peserta didedahkan dangan lebih terperincil berkaitan dengan seni serta pergerakan yang lebih berkesan untuk digunakan pada saat-saat kecemasan ketika dihadapi diri serta orang sekeliling.

Peserta di juga didedahkan pergerakan seni gerakan untuk digunakan ketika hendak bergerak didalam tempur tangan kosong mahupun seni senjata.



saudara ustaq Atiqullah sedang memberi taklimat berkaitan ujian akan dijalankan...
peserta ujian sedang giat menjalani latihan terakhir sebelum ujian bermula..
ujian sedang berlansung untuk bengkong kosong ke bengkong pelangi putih...

ujian untuk bengkong pelangi putih naik ke bengkong pelangi hijau dan sedang diberi arahan oleh saudara En.Muhammad Yusop

para peserta sedang diuji oleh saudara En.Isma Adli Bin Ismail..

para peserta didedahkan serba sedikit berkaitan seni gerakan cindai oleh saudara ustaq Wan Abdul Halim...

Wednesday, May 25, 2011

SUARA WARIS AMANAH - DANA GAYONG

Assalamualaikum;


Izinkan saya berkongsi pendapat, ini merupakan tambahan kepada apa yang telah saya utarakan dahulu bagaimana kaedah untuk menambahkan dana Gayong dan menjayakan impian memiliki Wisma Gayong.


Berhubung dengan pendaftaran gelanggang, saya telah mengusulkan dalam cadangan pindaan Perlembagaan agar dimasukkan mekanisma perwakilan di peringkat Daerah.Dalam erti kata lain, Setiap Gelanggang, Pusat Latihan dan Kelab atau seumpamanya dalam satu Daerah mestilah berdaftar dengan PSSGM Pusat, dan pendaftaran yang sah akan dikeluarkan Sijil Gelanggang. Hanya Wakil dari Gelanggang yang mempunyai status Gelanggang yang berdaftar dan sah, boleh menghantar wakil dalam Mesyuarat Agung Daerah/Cawangan PSSGM.

Melalui kaedah ini kita akan dapat memastikan Gayong benar-benar diwakili suara `grassroot' dan bukan taktik politik tak matang, yang mana kita ada dengar aduan, AJK Cawangan/Daerah dilantik tidak melalui proses pemilihan yang mewakili suara Majoriti ahli Gelanggang/perwakil an Gelanggang dalam satu-satu Daerah. Jika ini dikanunkan maka insya Allah, Gelanggang akan didaftarkan dan pentadbiran Cawangan/Daerah akan hidup semula, maaf jika saya katakan,.... .bukan setakat aktif atau diaktifkan apabila menjelang Persidangan Perwakilan Tahunan PSSGM kerana ada yang mempunyai agenda peribadi untuk semata-mata ingin memegang jawatan tertinggi tanpa komited untuk memperkasakan Gayong.

Berhubung dengan website dan seumpamanya, anak-anak Gayong kini ramai terdiri daripada cerdik pandai yang komited, PSSGM atau pentadbir seharusnya berani membuka peluang atau ruang kepada aset Gayong ini untuk menyumbang bakti, Gayong harus aktifkan sub committee, apa guna banyak biro jika ianya tidak digerakkan atau diberi kepercayaan kepada mereka yang berhasrat mulia untuk terlibat sama bangunkan Gayong...barangkali , seperti suara yang saya dengar kini, PSSGM perlukan perubahan kepimpinan tertinggi, dan saya bersetuju jika Y.Bhg Dato' Haji Zainal Abidin bin Sakom diberi peluang untuk teraju PSSGM sebagai YDP. Mungkin dengan perubahan ini, Cikgu Haji Mohd Anuar dan rakan-rakan yang ada dalam AJK sekarang lebih mudah bergerak dan memajukan Gayong dalam suasana yang lebih demokratik.

Benar apa yang dikata, ramai pemimpin kita di peringkat Daerah atau Negeri yang tidak atau gagal mendaftarkan ahli, mungkin masing-masing mempunyai `excuse' tersendiri, sama-sama lah kita terapkan, sebagai satu organisasi dan untuk kita berorganisasi dengan baik, hak PSSGM Pusat hanya 50% Yuran Pendaftaran dan Tahunan, Sijil Gelanggang, Sijil Bengkong dan Sijil Kegurulatihan, sewajarnya kita kembalikanlah atau usahakanlah hak PSSGM Pusat dapat kita serahkan. Saya faham bahawa kadangkala kerana kutipan tidak berjaya maka pergerakan di setengah tempat tidak menggambarkan kaedah berorganisasi pertubuhan yang hebat seperti PSSGM.

Ada tohmahan bahawa, keengganan mematuhi amanah berorganisasi ini disebabkan mereka tidak nampak usaha atau manfaat `to justify' serahan hak Pusat, Pusat katanya tidak menyumbang kepada pembangunan PSSGM Negeri dan Daerah.....barangka li daripada satu sudut, Pusat terbatas pada segi `resources' atau `think tank' atau sukarelawan yang berupaya memberi satu kesan atau suasana naungan kepada pergerakan negeri atau daerah,....atau ramai yang menjauhkan diri kepada sikap pemimpin tertentu.... namun, kita harus sedar bahawa selagi kita adalah Bahagian atau Daerah yang ditubuhkan melalui peruntukan atau `by virtue of' Perlembagaan PSSGM, maka tanggungjawab sebagai satu Bahagian atau Daerah/Cawangan tetap wujud dan daripada segi Perlembagaan, hak-hak Pusat hendaklah dihormati demi keluhuran Perlembagaan dan satu kemestian dalam berorganisasi. 


Jika kita tidak puas hati dengan pemimpin tertentu, kaedah yang ada, kita pastikan keahlian Cawangan atau Bahagian kita berdaftar dengan baik, kita bawa perwakilan yang matang, jujur untuk memperkasakan Gayong dan sama-sama kita pastikan dalam Persidangan yang akan datang, kita pilih pucuk pimpinan yang boleh bawa perubahan yang positif dan menyatukan Gayong.

Saya yakin, anak-anak Gayong semua sedar firman Allah SWT; "Sesungguhnya Allah SWT tidak merubah nasib satu-satu kaum hinggalah kaum itu sendiri yang merubahkannya".
Justeru itu, selama manakah kewajaran kita menjauhkan diri dari PSSGM Pusat atau meninggalkan cara betul berorganisasi kerana marahkan individu tertentu sedangkan di tangan kita ada hak atau penentu yang berkeupayaan merubah kepimpinan PSSGM, adakah sikap menghindar diri  jika diteruskan akan dapat memanfaatkan Gayong dan menjunjung amanah Arwah Dato' Mahaguru kita?
Apa bezanya daripada segi kesan jangka panjang antara kita yang tidak aktif kerana masalah yang dinyatakan di atas dengan mereka yang keluar dari PSSGM kerana kecewa, Pada pendapat saya, daripada segi ketaatan pastinya ada beza....tapi dalam dua keadaan ini, PSSGM tetap menanggung kerugian dan jenerasi akan datang pastinya akan lebih kecewa dengan sikap yang tidak tegas demikian.  
 
PSSGM berupaya gemilang semula jika ada perubahan pucuk kepimpinan.. .pemimpin yang sudah lama menjadi anggota Majlis Jawatankuasa Agung harusnya memberi peluang kepada pemimpin pelapis....komposis i 60% orang lama dan 40% pemimpin pelapis barangkali bagus untuk PSSGM Pusat, dengan syarat YDP hendaklah pemimpin yang disegani, berpengalaman dalam memimpin, mempunyai track record yang baik dan networking yang luas serta disegani.

Banyak idea, cadangan dan gerak kerja yang telah saya usahakan sejak saya mula-mula berkecimpung di peringkat Pusat seawal tahun 1991 lagi, saya tetap yakin, perkara yang baik dan murni akan tetap berjaya dengan syarat kita masih ada kesabaran dan diberi peluang untuk ketengahkannya. Dengan adanya Saudara dan Anak Gayong yang komited dan terbuka, saya yakin, insya Allah....apa yang pernah saya rintis dengan restu Arwah Waris-Waris Amanah terdahulu... . akan berjaya dan Gayong akan kembali gemilang...BILA? terpulang kepada kita semua, BILA KITA BERSEDIA UNTUK BERUBAH...?



Salam hormat

SUARA WARIS AMANAH - MENTERA GAYONG

Assalamualaikum,



Saudara seGayong...

Suka saya memberi pandangan berikut;

Dalam mentera dan seumpamanya. ..ada kalanya ia berunsur bangkitan semangat yang bertujuan menyeru sesuatu atau doa tertentu, atau kadangkala punyai unsur tawasul secara nyata. Bangkitan atau seruan sedemikian samada ianya bertujuan bermunajat kepada Allah SWT, bertawasul kepada Nabi Muhammad SAW atau semata-mata memanggil semangat dalam diri, khadam, qarin, rijal ghaib dan sebagainya.. .boleh ditafsir melalui matan masing-masing.

Setakat pengetahuan saya, Batu hitam yang disebut dalam mentera itu semamangnya satu rujukan kepada Batu Hitam di mana arwah Dato' Mahaguru kita terlelap dan dikhatamkan oleh Tuah. APA TUJUANNYA?, bolehlah disifat sebagai satu bangkitan peristiwa di mana ilmu Gayong telah dikhatamkan kepada arwah Dato' Mahaguru kita.

Bagaimanapun, suka saya jelaskan di sini...dalam perbahasan ini, kita harus dibimbing oleh pengetahuan Agama Islam. Amalan dalam Gayong diwarisi dari hulubalang, pendekar sehinggalah dizahir semula oleh arwah Mahaguru kita. Ilmu sedemikian ada yang terpengaruh dengan kepercayaan Melayu kuno yang berunsur hinduism dan seumpamanya. ..tidak juga dinafikan ada yang mempunyai nas yang sah.
Dalam penurunan ayat-ayat yang kadangkala berbunyi arab, kita juga mesti berwaspada kerana kebanyakannya dinuqil secara lisan tanpa tertib rujukan kepada al-Qur an atau kitab Azkar atau doa yang ma'thurat...

Bahasa Arab begitu sensitif kerana tersalah baris atau makhraj boleh memberi maksud dan pengertian lain sedangkan al -Qur an tidak boleh diubah, diterbalikkan atau disongsangkan (melainkan dalam kaedah pembacaan yang diterima Ulama').

Dalam konteks ini, saya lebih menggalakkan Gayong semua beramal dengan ayat-ayat al-Qur an dan doa-doa yang ma'thurat yang boleh dirujuk kepada Ustaz atau ahli zikir mudah-mudahan kita dapat elakkan daripada sesuatu yang waham yang kita sendiri banyak tanda tanya.

Saya tak berhasrat untuk membahaskan di sini sesuatu mentera atau bacaan atau amalan itu secara khusus kerana matannya berbeza dan ada yang telah di`islamise'kan dengan penambahan kata-kata akhir seperti ..dengan berkay Syafaat junjungan besar Nabi Muhammad SAW atau seumpamanya.

Tidak saya jika kita mempunyai asas agama yang baik, pengetahuan bahasa arab yang bagus maka kita mengumpul bacaan seumpama itu sebagai satu kajian dan pengetahuan am.

Banyak juga sejarah atau maklumat yang kitab boleh ceduk dari bait-bait bacaan mentera atau apa jua nama yang diberikan.

Apapun kita...bak kata Ulama' (ada setengah diriwayatkan sebagai Hadith)..."ad-Du`aa silaahul Mukminiin", maksudnya, Doa itu adalah senjata orang Mukmin.



sekian, salam hormat

Thursday, April 28, 2011

SUARA WARIS AMANAH - SILIBUS LUAR NEGARA

Assalamualaikum wbt.


Kesempatan ini saya ingin mengulas apa yang pernah dibincangkan memandangkan kini, saya mempunyai kelapangan untuk berkongsi pendapat dalam subjek; silibus untuk luar negara/bukan Islam.

Pandangan saya, di luar negara... approach yang sesuai ialah silat sebagai satu kebudayaan, peringkat kedua barulah kita perkenalkan silat sebagai senibela. pada peringkat asas, kita hanya tekankan asas gerakan; bermula 1 gerakan (contoh, tumbuk emas sepukal, pancung dayung, tangkis dayung) diteruskan dengan kemantapan tapak gerakan/kuda- kuda melalui,2 gerakan (contoh; tumbuk balas tangkis, tumbuk balas pancung etc...ditingkatkan   hingga 3 gerakan (tumbuk balas tangkis dan pancung, tumbuk balas tangkis dan tumbuk sula, tumbuk balas tangkis dan siku tembi etc). asasnya, pelajaran gerakan dan elakan sepertimana yang diamalkan di Malaysia.

Seterusnya diberi penekanan kepada, senaman golongan anak harimau 1-21 atau 1-49.. bunga tanjung, kelek dalam tapak (ada yang panggil gelombang 12, segulung etc),
jika ada komitmen, barulah kita kenalkan buah kombat 1-7 sahaja, diikuti buah tapak hidup (pentas tangan kosong)... saya lebih cenderung kita ajar tapak hidup tanpa menekankan aspek pengajaran tapak kunci mati secara penuh.

Dalam pengenalan Gayong ini, kita harus promote tentang budaya Melayu dan nilai Islam, mudah2an ada unsur pembasmian prejudis terhadap umat dan agama Islam ..jika mereka ada minat tentang Islam, barulah proses dakwah diperkenalkan. ..bagaimanapun, uslub dakwah perlulah dirujuk kepada mereka yang berpengalaman jika kita kurang arif.



salam hormat

Wednesday, April 27, 2011

DASAR ILMU SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaikum,


7. HAKIKAT ILMU GAYONG

Hakikat Ilmu Gayong merupakan ilmu peringkat tertinggi dalam peringkat
pembelajaran ilmu Silat Seni Gayong. Ilmu yang berbentuk kerohanian dan mengajar
seseorang murid Gayong dengan Ilmu Ketuhanan peringkat tinggi (Iktikad Ahli
Sunnah Wal Jamaah ) yang merangkumi ilmu Mengenal Diri dan Mengenal Tuhan.
Ilmu ini teramat penting kerana ianya adalah ilmu akidah yang menjadi pegangan
seluruh mukmin sejati. Selain itu, murid Gayong akan dibimbing dengan ilmu dan
amalan untuk menghilangkan sifat – sifat hati yang tercela seperti dengki, tamak,
riak, taksub, ujub, sumaah dan sifat mazmumah yang lain dan digantikan dengan
sifat – sifat mahmudah.

Konsep kehambaan turut ditekankan agar murid Gayong sedar akan tugas dan
tanggungjawab sebenar mereka di muka bumi ini iaitu BERIBADAH kepada ALLAH
SWT dengan mengikut segala PERINTAHNYA dan meninggalkan segala
LARANGANNYA. Pada peringkat ini, silat dijadikan wadah untuk berdakwah dalam
usaha menarik masyarakat dan mewujudkan suatu jemaah yang kuat dan bersatu
padu. Dalam usaha ini, murid Gayong berpegang kepada konsep BERANI KERANA
 BENAR dalam menyeru masyarakat ke arah KEBAIKAN dan mencegah
KEMUNGKARAN.


WALLAHU A’LAM BISSOWAB…….

Monday, April 25, 2011

MEDIA TERKINI - ARTIKEL SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaikum,

Dipetik dari Akhbar Media Terkini beberapa tahun yang lepas sebagai perkongsian....



Wassalam

Sunday, April 24, 2011

SUARA WARIS AMANAH - KUASA SANDANG

Assalamualaikum wbt.
Imam Gelanggang, Khalifah Muda, Khalifah dan Ketua Khalifah kesemuanya di bawah Khalifah Besar. Khalifah punyai tanggungjawab yang lebih besar daripada Khalifah Muda dan Imam Gelanggang. Mereka ini menjaga disiplin murid Gayong.

Khalifah Besar terbahagi kepada 4 portfolio; 
1. Perhubungan, 
2. Istiadat, 
3. Kegurulatihan dan 
4. Kewangan.

Urusan Polisi dan permasalahan akan dibincangkan oleh Khalifah Besar dengan Waris Beradat.

Ketua Beradat menjalankan arahan Waris Beradat.

Secara khususnya, urusan pelajaran dan kegurulatihan di bawah Majlis Gurulatih dan mereka yang memegang Sandang Kegurulatihan.

Jika Khalifah Muda atau Khalifah adalah juga berkelayakan sebagai seorang juru atau gurulatih, pastinya mereka juga boleh mengawasi pelajaran Gayong.

Yang pasti, Khalifah, Khalifah Muda dan Imam Gelanggang tidak semestinya disyaratkan kelayakan juru atau guru. Mereka boleh dipilih daripada J/Kuasa Pentadbiran Gelanggang, Daerah atau Negeri. Yang penting, mereka ini mesti ada kefahaman adat istiadat dan mempunyai adab sopan yang baik.


Salam hormat

Monday, April 18, 2011

SILIBUS GAYONG SERANTAU KELANTAN

Salamun Alaik,

Pada Disember 2010, Majlis Gurulatih Negeri telah bermesyuarat dan output dari mesyuarat tersebut, pihak Majlis Gurulatih Negeri telah memurnikan semula Silibus yang sedia ada berdasarkan kepada faktor  keupayaan jurulatih2 negeri dalam merealisasikan pelajaran yang telah ditetapkan. Berikut adalah Silibus yang telah disepakati secara majoriti;




Wallahua'lam

Sunday, April 10, 2011

SUARA WARIS AMANAH - LEMBAGA WARIS AMANAH

Assalamualaikum wbt.



Izinkan dipanjangkan maklumat berikut;

Lembaga Waris Amanah terbentuk atas wasiat sesuai dengan Peraturan 32(1) dan 32(2) Perlembagaan PSSGM. Peraturan 30 mengiktiraf adat istiadat dalam pemakaian rujukan peraturan berkaitan adat istiadat kerana ia membentuk sebahagian sumber rujukan Perlembagaan PSSGM.

Untuk makluman,Lembaga Waris Amanah terdiri daripada;

1. Waris Amanah Mutlak atau Waris Amanah Mahaguru(yang disebut dalam Perlembagaan sebagai Waris Amanah Silat Seni Gayong dan dibaca bersama dengan wasiat pewarisan Gayong); Waris Amanah Mutlak boleh melantik pengganti dan kuasa ini telah dirakam dalam Peraturan 32(2) yang mempunyai bidangkuasa sepertimana dalam wasiat dan melalui keluasan peruntukan 32(1) Perlembagaan.

2. Waris Amanah Gayong;Mereka yang dilantik oleh Waris Amanah Mutlak sebagai Ahli Lembaga Waris Amanah dengan kuasa adat tertentu tetapi bukan (atau tidak semestinya akan dilantik) sebagai pengganti Waris Amanah Mutlak.

3. Ahli Lembaga Waris Amanah; ahli atau murid Gayong yang dilantik sebagai ahli Lembaga Waris Amanah bagi tujuan menasihati Waris Amanah Mutlak (atau Pengerusi Lembaga Waris Amanah) dalam menjalankan amanah atau tanggungjawab yang diamanahkan, ahli Lembaga Waris Amanah tidak mempunyai kuasa atau hak adat tetapi bebas menguratarakan pendapat dalam mesyuarat Lembaga Waris Amanah.

Selepas kemangkatan arwah Dato' Mahaguru, hanya 3 orang Waris Amanah Silat Seni Gayong, mereka ialah arwah Cikgu Siti kalsom sebagai Waris Amanah Mutlak, arwah Haji Mohd Razali Salleh sebagai Waris Amanah dan arwah Dato' Haji Ahmad Lazim sebagai Waris Amanah. Mereka bertiga berhak melantik pengganti masing-masing sesuai dengan Peraturan 32(2) Perlembagaan.

Tanpa menolak wasiat lain (jika ada dan dapat dibuktikan), setakat ini ahli Lembaga Waris Amanah yang dilantik selepas arwah Waris Amanah Silat Seni Gayong meninggal dunia (tanpa melalui wasiat) ialah Cikgu Ahamad Ayazi bin Ramli sebagai pemegang amanah bagi pihak Cikgu Intan Rabiatul Adawiyah bt. Ahamad Ayazi (Cikgu Ahamad Ayazi akan memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Waris Amanah sehinggalah ke satu masa Cikgu Intan bersedia dan mampu untuk mengambil tanggungjawab tersebut).

Senarai keahlian lain yang bakal dipertimbangkan ada dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Beradat Kebangsaan PSSGM, insya Allah jika tiba waktunya akan dimaklumkan.

Setakat ini sahaja yang dapat dimaklumkan.

Sekian.



Bagi pihak
Lembaga Waris Amanah

SUARA WARIS AMANAH - SUKATAN PELAJARAN KEBANGSAAN

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Secara dasarnya, pelajaran kebangsaan telah dirangka dan diluluskan oleh Lembaga Waris Amanah seawal tahun 1994 lagi.


Rakaman ada dibuat dan tersimpan di rumah arwah Cikgu kalsom. Jika ada inisiatif untuk rakaman baru boleh dirujuk kepada Pusat Latihan Kajang (Cikgu Idris) atau Majlis Gurulatih Negeri Terengganu (Cikgu Ghazali Haron).


Pelajaran Tapak Gayong dirasakan tidak menimbulkan banyak keraguan, jika ada hanyalah daripada sudut 'seni tangkapan' sahaja. Namun ianya juga telah dibukukan.

Pelajaran Seragam Bahagian Seni Gayong (Senjata)  mengandungi;

1. Asas Gerakan
2. Asas Elakan/Senaman Elakan
3. Seni Elakan/Elakan Maut

Pelajaran di atas telah dipersetujui Lembaga Waris Amanah seawal 1994 hingga 2006 mesti diselaraskan di Malaysia. Antara matlamatnya;  agar Silat Seni Gayong boleh daftar hakcipta atas kaedah-kaedah Gayong (sejauh mana yang dibenarkan Undang-undang) termasuk Istilah Gayong.

Diputuskan juga; Seni Tangkapan boleh lah  terbuka kepada banyak versi asalkan menepati kaedah Seni dalam Gayong. Satu Set Tangkapan Seni, Pisau, Keris, Simbat Belantan, Parang, Lembing, Cendai  sudah diterima dan dibukukan.

Amatlah dialu-alukan usaha membukukan versi Seni Tangkapan kerana ianya akan mencapai maksud mengadakan set tangkapan A, B dan C. Apa yang diputuskan, Pelajaran Asas yang dinyatakan di atas mesti diselaraskan satu sahaja bagi menggambarkan kesatuan pelajaran dan maksud silibus.

Rujukan Pelajaran boleh dicapai melaui kaedah rujukan berikut;

1. guru yang dirujuk hendaklah diketahui hampir dengan  arwah Mahaguru dan mempelajari ilmu yang dirujuk;
2. guru rujukan hendaklah  antara yang paling senior dan hendaklah dikenal pasti rankingnya dan asal pelajaran yang ditunjuk/ajarkan;
3. guru yang menuntut dengan guru (1) dan (2) di atas hendaklah yang dinyakini dan diiktiraf oleh guru mereka tentang apa yang dipelajari atau diajarkan.


Sekian, salam hormat

SUARA WARIS AMANAH - MAJLIS PENERIMAAN MURID BUKAN ISLAM

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Mereka yang bukan Islam secara praktisnya tidak menjalani istiadat perlimau seperti rakan seUgama kita. saya melihat adalah satu keperluan untuk mereka menjalani Majlis Ikrar yang sesuai, sebagai contoh, ADUN atau MP Muslim akan berikrar dengan nama Allah SWT, barangkali mereka ini boleh lah dibuat satu Ikrar khusus, yang penting mereka perlu ada taatsetia kepada Silat Seni Gayong dan Amanah Gayong.

Soal sejauh mana ketaatan adalah satu yang subjektif..yang penting mekanisme perlu ada untuk memastikan pada masa akan datang, murid dan ahli Gayong terus dibimbing dengan adat istiadat kita.

Salam hormat

Friday, April 8, 2011

SUARA WARIS AMANAH - ILMU GAYONG

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Terima kasih dan syabas kerana dewasa ini anak2 Gayong makin timbul minat untuk mencari hakikat Ilmu Gayong....

Sebagai Guru kita wajib pastikan bahawa apa yang diajar adalah Ilmu Gayong..Ilmu Gayong amat luas, untuk mengenal, kita boleh berpandu kepada konsep dan kaedah Ilmu Gayong...seni yang ada dan praktikaliti sesungguhnya menjadi ukuran penentu...

Ada yang cuba pecah buah Gayong, tapi bukan semua mampu jika tiada bimbingan yang betul, kita perlu menuntut Ilmu Gayong dan menguasai apa yang dinamakan;


1. Tapak Gayong

2. Seni Tapak Gayong

3. Seni Keris

4. Seni Simbat

5. Seni Yoi

6. Seni Belian
7. Seni Cendai



Setelah kenal Seni-seni di atas, maka layaklah kita menyandang Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti (Bengkong Hitam) dan layak lah kita membuat ulasan samada sesuatu Ilmu Gayong itu, dalam kaedah atau sistem Pelajaran Gayong atau tidak...samada pecahan itu betul kaedah atau seninya atau tidak.

Saya bersyukur kerana anak dan saudara Gayong kita sudah meletakkan Ilmu Gayong lebih utama daripada status bengkong. Mudah-mudahan kesedaran ini dapat kita kembangkan.
Arwah Cikgu Dato' Ahmad Lazim pernah berkata; kita berjalan, membawa diri kita ke mana-mana, teman yang sentiasa bersama kita ialah ilmu Silat Seni Gayong, ibubapa kita tidak jaga kita 24 jam dan tiada orang yang bersama kita 24 jam sehari semalam, tapi Silat Seni Gayong ialah teman 24jam kita sehari semalam...dan Gayong akan menjaga kita dalam mara bahaya di mana jua dan sepanjang masa...


Mafhumnya, Gayong itu yang menjaga kita (bukan bengkong yang boleh menakutkan lawan kita)...


Kita mesti tanamkan semangat bahawa ....tahap penilaian diri harus ada pada kebolehan dan ketangkasan diri kita sendiri kerana ini yang kita bawa. Biarlah orang menilai kita dengan tahap dan kebolehan kita, amat malang jika tahap bengkong kita tidak setanding dengan ilmu kita dan kita terpaksa menunjukkan sijil atau bengkong bagi membuktikan nilai kebolehan bukannya ilmu yang boleh kita ajarkan..., kita sama-sama usahakan agar apabila kita berGayong maka tahap kemampuan kita yang menyatakan tahap bengkong kita.


.....satu perkara penting ialah; Sebagai Pemegang Bengkong Pelangi Hitam, kita mesti mampu dan pastikan kita boleh mengajar pada bila-bila masa, soal sukatan itu adalah satu isu yang berasingan.. .


Mungkin kita tidak mahu satu hari nanti guru black belt Gayong ada yang sebut; "dulu i dah belajar semua tu, tapi sekarang i dah lupa lah, dah tak ingat macam mana....".


Tidak salah mengaku kekurangan malah harus dipuji...tetapi kita harus memohon agar dikeluarkan daripada senarai guru Gayong jika sudah tidak mampu atau boleh mengajar jika kita inginkan tahap guru dimartabatkan. Senarai Guru perlu diisi oleh mereka yang masih boleh mengajar dan Tingkatan Guru mesti berpandu kepada tahap pelajaran yang guru itu masih mampu mengajar...bukannya pelajaran yang guru itu mendakwa pernah belajar di mana-mana... .Insya Allah Gayong akan bangkit semula jika ini dapat dilaksanakan dan murid Gayong tidak akan keliru kerana begitu banyak dakwaan yang kadangkala melemahkan semangat untuk terus menuntut.


Ilmu mesti di dada, soal silibus hanyalah satu kaedah pengajaran.. ..


Sebagai Muslim, kita tidak boleh riya' atau merendahkan sesiapa... kita perlu berusaha untuk tingkatkan ilmu dan kebolehan kita, untuk menjadi ahli Gayong tidak semestinya kita mesti mengajar atau belajar selama-lamanya, semangat Gayong perkara asas yang perlu ada.... sebagai guru kita mesti bertanggungjawab kepada murid kita, ajarlah dengan amanah apa yang kita tahu dan yakini benar...untuk bergelar status guru, kita mesti boleh dan mampu mengajar, jika kita tidak mampu lagi, maka kita bersaralah sebagai guru dan bagi laluan kepada bakat dan jenerasi baru untuk bangkit majukan Gayong...mereka yang bersara sebagai guru, kekallah sebagai murid dan ahli Gayong atau pemimpin Gayong yang pastinya tetap dihormati sebagai orang lama..., bimbinglah jenerasi muda agar Gayong terus relevan dan menjadi kebanggaan Ugama, bangsa dan negara kita.


Mudah-mudahan apa yang dinyatakan di sini tidak mengguriskan sesiapa, dan maaf jika ia menjadi satu yang sensitif kepada mana-mana pihak.


Sudah tiba masanya, jenerasi muda Gayong tampil dan diberi peranan lebih aktif. barangkali ada baiknya, mereka ini membentuk satu inisiatif sebagai sukarelawan Gayong...jika diberi peluang maka mereka ini akan diserap dalam pentadbiran Gayong. Saya percaya dengan suntikan ini. PSSGM akan dapat dimartabatkan sesuai dengan keperluan.




Sekian, salam hormat

SUARA WARIS AMANAH - GERAK DAN SIFAT GERAK


Assalamualaikum wbt.

Sebab itulah kita kena tahu, apakah Ibu Gayong dan apakah Gerak dan Sifat Gerak...

Ringkasnya, ada tangkap dalam elak, buang dalam gerak, bunuh sebelum gerak, bunuh dalam gerak dan sebagainya.

Petua Guru; "serangan atau langkah bela dibuat semasa lawan dalam gerak isyarat atau nyata,

Saya selalu teringatkan pesanan Guru saya, Cikgu Ghazali bin Haron; Bunuh Tari dengan Serangan, Bunuh Serangan dengan Gerak, Bunuh Gerak dengan Ibu Gayong".

Al Maklum... Salam hormat

SUARA WARIS AMANAH - AMANAH JAWATAN

Assalamualaikum wbt.

Saudara-saudara dan Anak-anak Gayong yang dihormati...

Ini sekadar renungan berhubung amanah jawatan dan tidak merujuk kepada mana-mana acara secara khusus...

Setiap manusia mempunyai tanggungjawab jika ia diamanahkan dengan apa jua tugasan, samada dia wasit, ketua pertandingan, AJK dan apa jua amanah jawatan.
Sesiapa yang tidak jujur dan dia tahu bahawa tindakan yang dia ambil dibuat di luar batasan yang sewajarnya, maka ia akan bertanggungjawab sepenuhnya. Apatah lagi mereka yang sememangnya mempunyai agenda peribadi yang tidak sah di sisi hukum. Ada kemenangan yang dirancang melalui istilah `beli permainan'...sesungguhnya itu adalah perbuatan terkutuk dan keji.

Dalam dunia sekarang, manusia melihat duit adalah sama dari segi fizikal, halal atau haram duit itu... tapi setiap suapan daripada duit haram, daging yang tumbuh akan jadi makanan api neraka, jika mereka memberi makan kepada anak bini mereka, maka itulah hakikat makanan yang diberi...jika pakaian maka tiadalah barakahnya.. wa iyaazubiLLAH. ..

Wasit atau ketua pertandingan ialah hakim, hukuman di akhirat sama juga dengan para hakim lain, jika dia mengambil hak orang dan memberi kepada bukan pemiliknya, maka tunggulah kesannya, mungkin esok tidak kelihatan, tetapi balasan tetap akan datang.

Kadang-kadang manusia manis berkata-kata tetapi dusta, justeru itu, kita hindarkan diri kita daripada sifat keji sebegini. Jika mampu memberi nasihat, nasihatilah mereka....jika tidak, elaklah daripada memberi amanah kepada mereka sebegini kerana ditakuti kita nanti mendapat dosa bersubahat.

`Sabda Rasulullah SAW; "jika sekiranya diberi urusan atau amanah kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran".

Sekian.


Salam hormat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...